Ribuan manusia menunggu. Mendongak ke udara dengan penuh sabar. Tangan yang digengam kuat, sudah bersedia untuk dilonjakkan. Seringkali kelipan mata bertukar arah. Melihat mata jam berdetik-detik menghampiri... Jam 12.
"tiit.tiit.tiit."
Terbunyi dentuman das-das letupan di sewarjagat penjuru kota. Percikan api yang membara memercikkan serpihan warna-warni di angkasa. Bendera dikibarkan. Laungan sorakan kegembiraan berlegar-legar membingitkan ruang kota. Maka itulah apa yang dibangga-banggakan semua. Tanggal 1 Januari. Selamat Tahun Baru.
Takjub! Hebat! Begitu tinggi semangat mereka ini. Mungkin sudah terdetik dibenak fikiran mereka perubahan ke satu fasa yang baru. Semangat yang baru. Usaha yang baru. Yang lepas dibiarkan lepas. Yang baru dirancang kembali. Kesedihan diisi dengan kegembiraan. Kepahitan diganti dengan kemanisan.
Atau mungkin difikirkan mereka sekadar kebiasaan. Yang dibuat-buat ramai orang. Agar ramai yang terus tenggelam. Dalam arus kebiasaan. Yang dilakukan oleh orang biasa. Untuk tujuan biasa. Yang diulang dan diulang dan terus diulang. Dari tahun ke tahun. Kerana ia perkara Biasa.
Masa terus berlalu. Kalendar dibelek dan dibelek. Dari hari ke hari. Menunggu kembali datangnya Tanggal 1 Januari. Kerana itulah detik untuk dimulakan. Katanya Ramai Orang.
Bila ditanya bila tahun baru?
"- 1 Januari'
Bila ditanya mengapa 1 Januari?
"- Kalendar bermula 1 Januari"
Dan ditanya lagi apa yang ada pada 1 Januari?
"- Sambutan Tahun Baru"
Ya! Sekadar itu sahaja. Kerana kita hanya mengikut. Kebiasaan ramai orang. Sehingga apa yang kita lakukan semuanya ikutan ramai orang.
Tapi kita seringkali lupa.
Ada lagi tahun baru yang harus kita ingat. yang harus kita faham. tahun baru yang hampir-hampir tenggelam, ditelan oleh arus kebiasaan. yang jarang kita ambil tahu akannya. kecuali di bulan ramadhan dan tika raya menjelang. Kerana itu juga kebiasaan. Oleh Ramai Orang.
Tahun Baru Hijrah. Awal Muharram.
Lihatlah dan Fahamilah. 1 Muharram bukan sekadar untuk dijadikan tatapan umum. Yang ditunggu-tunggu ramai sambil dilemparkan das-das percikan bunga api ke udara. Atau yang disertakan sorakan kegembiraan dan tepukan gemuruh. Tetapi ia lebih daripada itu. Kerana ia bukan satu kebiasan. Ia Luar Biasa.
Sangat luar biasa 1 Muharram. Ia adalah satu detik permulaan. Satu pengorbanan yang sangat-sangat besar dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W bersama-sama kaum muhajirin dari Mekah ke Madinah. Hijrah itu tidak difahami keperitan dan pengorbanannya sekadar menghafal teks-teks Sejarah dalam Bab Tamadun Islam. Bukan difahami sekadar menghafal maksud Hijrah dari segi Bahasa dan Istilah. Kerana kita menghafalnya bukan untuk memahaminya. Kerana kita menghafalnya sekadar untuk Peperiksaan.
Ramai yang tidak cuba untuk merasa kepentingan Hijrah yang kini telah menjadikan kita sebegini harini. Limpah kurnia nikmat Iman dan Islam. Kerana dengan hijrah, maka terbinalah Negara Islam Madinah yang menjadi pemangkin keagungan Islam dini hari. Yang dahulunya umat Islam kuat, kukuh, dan maju kehadapan. Kemajuan yang pesat dek akibat pegangan yang kuat dengan panduan Ilahi. Panduan Al-Quran dan Assunnah yang telah menjadikan umat Islam lebih maju 10 dekad kehadapan dari tamadun-tamadun yang ada pada ketika itu.
Yang kemudiannya berkembang dan terus berkembang, sehingga memegang 2/3 kekuasaan dunia selama berabad-abad lamanya. Dijadikan contoh oleh seluruh tamadun alam. Melihat dengan takjubnya kehebatan Tamadun Islam, meneroka segenap pengetahuan ilmu pengetahuan. Yang tiada terfikirnya oleh tamadun lain ketika itu. Kerana Umat Islam bukan berada dalam arus kebiasaan. Yang ketika itu menjadi wabak bala bencana kepada tamadun lain. Yang tersekat dan terbatas pemikirannya. Hanya akibat menurut fikiran sang akal semata-mata. Tanpa mereka ketahui akal itu terbatas fikirannya. Dan bisa sahaja akal itu menjadi benda biasa, kerana tiada panduan dari yang Esa. Kerana yang Esa itulah yang Luar Biasa.
Lain pula umat tamadun Islam. Akal mereka disuburi dengan panduan ayat-ayat dari Allahu Rabbul Alamin. Sehingga pemikiran mereka terkeluar dari konteks norma kebiasaan. Akal mereka yang dipandu menuju kebenaran seringkali melakukan perubahan. Setiap masa melakukan inovasi pengetahuan. Lihatlah ilmuan-ilmuan Islam seperti Ibn Sina, Ibn Nafis, Ar-Razi, Al-Khawarizmi, dan lain-lain lagi. Bahan-bahan yang mereka hasilkan menjadi sumber rujukan berkurun-kurun lamanya wa ima sehingga harini sekalipun. Kerana Tamadun Islam dahulunya memegang Ustaziatul Alam. Digeruni tapi dihormati oleh umat alam ini. Yang sesungguhnya dimulakan dengan satu permulaan. Hijrah!
Tetapi setelah menempuhi pelbagai ranjau pertukaran zaman. Umat Islam dilihat semakin lemah. Kerana sedikit sahaja yang cuba untuk memahami Hijrah itu. Ada pun yang memahami, sedikit pula yang mempraktikkannya. Dan adapun yang mempraktikkannya, sedikit lagi yang lakukannya dengan hikmah dan bijaksana.
Oleh itu, marilah kita sama-sama berazam untuk berhijrah dari buruk kepada baik. dari baik kepada lebih baik. dari lebih baik kepada lebih cemerlang. Bukan sekadar untuk diri kita, tetapi juga untuk orang lain. Sama-samalah kita hayati sirah-sirah Nabi Muhammad S.A.W dan juga ayat-ayat Al-Quran dan panduan As-Sunnah. Kerana dalamnya terdapat pelbagai ilmu pengetahuan. Yang bisa kita semua telusi dan terokai. Andai kata Islam akan kembali gemilang. Maka jadikanlah kita sebahagian daripadanya. Sebahagian yang memulakannya. Kerana Hijrah itu satu perpindahan yang dimulai dengan satu permulaan. Insya Allah.
Jom lakukan perubahan. Jom jadi yang Luar Biasa!
Salam Maal Hijrah
(Also posted in me-abirsabil.blogspot.com)
p/s: farid, aku iklankan sket blog aku. ok kan? haha.
Jom jadi lebih baik sempena tahun baru ni! :)
ReplyDelete