Menghitung masa yang usai berlalu, bukan sehari dua kita menjalani sebuah kehidupan. Lima tahun, dua puluh tahun mahupun enam puluh tahun, ternyata tempoh yang lewat sesingkat kerdipan mata. Si kecil hingusan yang bertatih semalam sudahpun pandai berlari, si remaja yang baru menjejak dan merasai alam universiti kini menjawat jawatan tinggi, dan senyuman insan yang kita sematkan cinta kepadanya mungkin telahpun disambut Illahi.
Benarkan! Setiap perkara, aturan, proses ataupun apa-apa cantuman aksara yang mampu kita zahirkan tentang kehidupan pasti ada motor yang mengubahnya, menggerakkannya dan sebagainya. Setinggi mana puncak Gunung Everest ditatap mata, tampak megah dan gah, namun sedarkah kita tanahnya sentiasa menghakis dan semakin susut. Lumrah! Awan mendung yang kita sangkakan berleretan ke petang diselangi rintik hujan, pun bisa bertukar cerah cerlang dengan cahaya mentari, ditambah seri pula dengan sang pelangi. Fitrah!
Siapakah pula kita semalam, hari ini dan esok? Tidak berubah? Aku masih aku. Tidak mungkin. Berikan ruang sejenak supaya akal yang diberi kita oleh Pencipta tidak beku untuk mentafsir dan berfikir. Menelaah, bukan sahaja pelajaran Biology, Kimia dan sebagainya, tapi juga pelajaran pengalaman dari usia yang membawa kita kepada siapa kita sekarang. Tidak sesusah Sejarah yang memerlukan anda menghafal, tidak sesukar Add Math kerana tiada Calculus pun dalam perhitungan ini.
Apakah yang kita telah lakukan semalam untuk hari ini dalam kesinambungan hari esok? Andai semalam tercatit buruk dan hitam oleh pena maksiat dan kejahilan dalam diari kita, dan adakah hari ini masih ingin kita nukilkan sejarah yang sama tanpa ingin menjernihkannya kembali? Andai jua semalam kita mendongak dengan angkuh ke langit atas segenggam kejayaan dengan lontaran hina pandangan kepada orang lain, dan adakah hari ini kita ingin terus mencanangkannya tanpa kita sedari kita mampu tersungkur dibumi? Saat itu adakah akan ada tangan yang akan dihulur membantu kita mencari semangat yang telah hilang? Mungkinkah ada?
Siang ada malam. Langit ada bumi. Bulan ada mentari. Berpasangan. Tapi, mereka tiada pilihan. Siang tidak boleh mendahului malam. Norma! Bulan ada masa biasan cahayanya, tidak melitup terbit mentari di kala dinihari. Juga norma! Itu adalah aturan Pencipta dan kita tidak akan mampu mengubahnya. Jahat ada baik. Lemah ada kuat. Miskin ada kaya. Bertuahnya manusia. Yang jahat ada kesempatan menjadi baik, dengan kembali kepadaNya. Yang lemah imannya, masih ada ruang membina ‘otot-otot’ untuk santapan imannya. Alangkah untungnya siapa yang sedar akan peluang ini. Sedarkah kita?
Teringat aku seorang wanita arab satu kuliah denganku. Figura yang mampu menggoyahkan iman si lelaki dengan rambut kerintingnya dibiar mengikut rentak hilir angin ditatap lelaki. Hakikatnya dia seorang muslimah. Beberapa minggu selepas kuliah pertama semakin jarang kunampak kelibatnya. Sangsi membunga. Namun kubiar atas batas pergaulan yang harus pertahankan. Tempat duduknya tidak kosong namun diisi perempuan bertudung yang tidak kuteliti wajahnya. Kubiarkan. Sehingga suatu masa baru kusedari rupanya perempuan bertudung tadi adalah wanita tersebut. Dalam hati mengucap rasa syukur. Tidak kunafikan! Hidayah milik Allah. Namun, kita perlu berusaha mendapatkannya. Mentadabbur siratan dalam tanda-tanda kebesaran yang ditunjukkanNya untuk manusia. Mahukah kita berfikir?
Selagi ada bulan mentari yang masih berputar di orbit, maka selagi itu peluang untuk kita menjadi lebih baik masih terbuka. Selagi ada ombak dan laut yang bergulungan di pantai, maka selagi itu ruang untuk kita mencari manisnya iman masih tersedia. Selagi ada turunnya hujan, maka selagi itu kesempatan untuk kita membuka dimensi baru dalam diari hidup kita tidak tertutup. Dan selagi ada waktu sebelum tibanya Israfil meniup sangkakala, maka selagi itu rahmat Allah tidak pernah berkurangan untuk hamba yang berusaha kembali kepadaNya. Marilah kita hidup kembali sebagai seorang yang jauh dari kejahilan. Marilah kita hidup kembali sebagai seorang yang benci akan kemaksiatan. Wallahua’lam.